Monday, September 26, 2011

Khas untuk LELAKI yg EGO....

Hanya Lelaki - Pengakuan Duda

Kerana ego, aku hilang isteri dan anak

Hati sesekali terusik apabila melihat kemesraan pasangan suami isteri melayani kerenah anak kecil mereka. Kerana itu, aku tidak gemar berjalan mengambil angin di taman-taman permainan kerana mahu menjaga hati sendiri. Jauh di sudut hati, aku teringin untuk menikmati semula keindahan dan kebahagiaan rumah tangga. Hati aku teringin semula merasai suasana riuh dan meriahnya melayan ‘jaguh’ kesayangan di halaman rumah.

Namun, semua itu kupendamkan kerana cinta dan kasih sayang terhadap mereka masih mengikat hatiku untuk terus setiap mengingati mereka. Biarpun sudah hampir lapan tahun kejadian berlalu, namun ingatanku terhadap mereka tetap utuh. Tidak langsung luput ditelan waktu yang berlalu. Isteriku, Aida dan anak lelaki kesayanganku, Amsyar kedua-duanya kembali ke rahmatullah ketika dalam perjalanan pulang ke kampung. Bagaimana kejadian berlaku… Aku sendiri tidak dapat melelapkan mata walau sepicing pun mengenangkan rasa bersalah terhadap mereka. Cuai dalam menjaga keselamatan mereka. Bukan saja mereka, tetapi nyawa diri sendiri hampir terancam. Rasa bersalah yang pasti tak akan luput dari ingatan di sepanjang hayatku.

Aku masih ingat lagi. Hari terakhir bekerja sebelum bercuti panjang bersama isteri dan anak-anakku, aku diarahkan oleh ketua jabatan untuk menghadiri satu mesyuarat penting bagi menggantikannya yang terpaksa ke hospital menjenguk pengerusi syarikat, yang juga ayahnya di hospital.Walaupun berat hati, aku terpaksa juga melakukannya. Terkocoh-kocoh aku menyediakan bahan untuk dibentangkan petang itu.

Segala panggilan telefon dan pesanan sms daripada isteri yang cuba mengingatkan aku mengenai perancangan kami yang akan bertolak pada malam itu tidak aku endahkan. Seboleh-bolehnya aku mahu menumpukan sepenuh perhatian pada tugasku agar pembentangan kertas kerja pada petang itu nanti berjalan lancar.Syukur, pembentangan tersebut berjalan dengan baik, malah pihak pengurusan bersetuju untuk meluluskan cadangan yang dibentangkan tanpa sebarang masalah. Mungkin kerana ia dilakukan dengan tekun, bersungguh-sungguh serta menggabungkan beberapa cadangan bernas daripada setiap pekerja bawahan yang sama-sama membantu.

Dalam pada gembira kelegaan, di hati diserbu rasa bersalah kerana terpaksa mengabaikan isteri dan anak yang setia menanti kepulanganku. Kelam kabut aku bersiap apa yang patut dan terus memandu pulang ke rumah. Laju. Aku memandu kereta dengan laju kerana tidak mahu mereka menunggu lebih lama lagi. Juga, tidak mahu si kecil kesayanganku merajuk pula. Dalam perjalanan, sempat juga aku berhenti singgah membeli coklat dan sejambak bunga buat mereka agar sejuk rasa amarah mereka nanti. Fikirku, cara begitu adalah cara terbaik untuk menebus salahku. Tak mengapalah, biarlah aku mengalah asalkan kami boleh bertolak dengan perasaan yang gembira.

Namun, apa yang berlaku tidak seperti yang diharapkan. Tiba di rumah, isteriku sudah mula melancarkan perang dinginnya. Si anak pula, sudah duduk diam di kerusi tanpa sedikit memandang ayahnya ini. Tersenyum melihat telatah mereka. Sekali gus, aku cuba memujuk si anak dengan coklat kegemaran yang sempat dibeli.Kemudian, tiba pula giliran si ibu. Namun, kali ini bukanlah semudah itu untuk memujuknya. Entah mengapa, sukar benar mengambil hatinya. Aku faham, mungkin kerana semua panggilan telefon dan pesanan smsnya langsung tidak aku endahkan siang tadi. Aku masih bersabar dan menunggu barang-barang yang siap berkemas disimpan di dalam kereta.

Setelah siap mandi dan makan, kami sama-sama bertolak. Keadaan, masih tidak berubah. Isteriku masih lagi senyap, tanda masih marahkan aku. Puas sudah memujuk, puas sudah diajak berbual, namun hanya sepi. Tiba-tiba, aku pula yang berdarah panas. Membuak-buak rasa marah kerana setiap pertanyaan langsung tidak mendapat balasan sepatutnya. Entah angin apa yang masuk ke kepalaku sehingga menjejaskan pertimbangan warasku untuk terus bersabar.Habis kuketuk stering kereta dan menekan hon sepuas hati. Bingit telinga membuatkan isteriku bertambah marah.

Maka, terjadilah pergaduhan antara kami. Rasa marah mendahului rasa warasku. Semakin laju kereta kupandu bagi melepaskan kemarahan. Puas isteriku memanggil dan cuba menenangkanku, tetapi aku begitu ego. Kelajuan semakin meningkat hingga aku tidak sedar kereta semakin menghampiri selekoh tajam. Aku tidak sempat berbuat apa-apa dan tanpa sedar aku sudah melanggar pembahagi jalan. Sejurus kedengaran dentuman yang kuat diikuti jeritan nyaring isteri dan anakku.

Entah berapa lama aku tidak sedarkan diri, aku sendiri tidak pasti. Malah, hampir-hampir juga aku tidak mengingati kejadian pada malam itu. Namun, setelah beberapa lama termangu, baru aku dapat mengingati setiap detik yang berlaku hinggalah mataku tertutup tidak sedarkan diri.Keadaanku juga tidak mengizinkan aku bergerak kerana sebelah kakiku patah, dan luka di badan dan kedua-dua tangan. Namun, apa yang paling mengejutkan aku adalah mengenai berita tentang isteri dan anakku. Mereka didapati meninggal dunia di tempat kejadian. Isteriku dikatakan tersepit di antara remukan kereta dan penghadang jalan, manakala anakku pula tercampak dari tempat duduk belakang.

Betapa aku menyesal kini. Kerana itu, aku tidak mahu lagi cuba mendekati mana-mana wanita, biarpun ada beberapa wanita yang cuba ingin menghampiriku. Kasih sayangku terhadap mereka masih menebal sehingga aku rasakan aku akan mengecewa dan melupakan mereka sekiranya aku mencari pengganti yang lain.

Untuk pembaca, hargailah mereka yang ada di sekeliling kita. Jangan terlalu ikutkan rasa marah dan cubalah bawa bertenang walau apa juga tekanan yang dialami. Semua hanya dugaan sahaja. Insya-Allah, tiada perkara buruk berlaku.


petikan mingguan wanita... majalah kegemaran yang penuh info dan kisah tauladan...

No comments:

Post a Comment